Perhatian kepada ibu bapa dan pelajar Tahun 6 2020 yang berminat untuk memasuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tingkatan 1 ambilan 2021.
Anda boleh membuat permohonan MRSM Tingkatan 1 2021 secara online di laman web Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Tarikh permohonan kemasukan ke Tingkatan 1 MRSM 2021 di buka dari 24 Ogos 2020 sehingga tarikh tutup permohonan MRSM pada 4 Disember 2020. Permohonan Tingkatan 4 (Empat) juga dibuka pada tarikh yang sama.
Permohonan MRSM 2021 boleh dibuat secara dalam talian bermula jam 9 pagi menerusi laman web https://mrsm.mara.gov.my/mymrsm.
Syarat Kemasukan MRSM 2021
Syarat kemasukan ke MRSM pada 2021 mewajibkan calon untuk menduduki Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) bagi menguji potensi calon dan minat, membabitkan subjek Matematik, Sains dan bahasa Inggeris serta ujian Keperibadian.
Bagi pemohon yang memohon program Ulul Albab, mereka diwajibkan menduduki ujian hafazan sebagai syarat tambahan.
Calon perlu lulus keempat-empat UKKM untuk melayakkan diri dipertimbangkan memasuki MRSM dan keutamaan diberikan kepada golongan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
Azizah berkata, kemasukan ke MRSM pada 2021 mewajibkan calon untuk menduduki Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) bagi menguji potensi calon dan minat, membabitkan subjek Matematik, Sains dan bahasa Inggeris serta ujian Keperibadian.
Syarat Permohonan MRSM Tingkatan 1 2021
Pemohon hendaklah mempunyai keperibadian yang baik dan memenuhi syarat khusus seperti di bawah:
- Memiliki pencapaian akademik yang cemerlang dalam UKKM
- Aktif kegiatan kokurikulum dan bersedia mengikuti pelbagai program yang dianjurkan.
- Keutamaan diberikan kepada pelajar dari keluarga yang berpendapatan rendah
- Pemilihan pelajar ke MRSM adalah berdasarkan merit
5 Pilihan Aliran MRSM 2021
Terdapat lima program yang berteraskan Science, Technology, Engineering dan Mathematics (STEM) dilaksanakan di MRSM.
1. MRSM Premier
Program MRSM Premier mengikuti gabungan sukatan pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah, Kurikulum Standard Sekolah Menengah, kursus khas dan kursus pembangunan sahsiah.
Kursus khas merupakan satu kursus yang menekankan nilai keusahawanan dan kemahiran insaniah.
Program MRSM Premier ditawarkan oleh MRSM berikut :
- MRSM Arau, Perlis
- MRSM Beseri, Perlis
- MRSM Merbok, Kedah
- MRSM Pendang, Kedah
- MRSM Transkrian, Nibong Tebal, Pulau Pinang
- MRSM Felda, Trolak Perak
- MRSM Lenggong, Perak
- MRSM Gerik, Perak
- MRSM Pasir Salak, Perak
- MRSM Pengkalan Hulu, Perak
- MRSM Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak
- MRSM Jeli, Kelantan
- MRSM Kuala Krai, Kelantan
- MRSM Pasir Tumboh, Kelantan
- MRSM Kuala Berang, Terengganu
- MRSM Kuala Terengganu, Terengganu
- MRSM Muadzam Shah, Pahang
- MRSM Tun Chazali Shafie, Kuala Lipis, Pahang
- MRSM Mersing, Johor
- MRSM Muar, Johor
- MRSM Kota Kinabalu, Sabah
- MRSM Mukah, Sarawak
- MRSM Betong, Sarawak
2. MRSM Ulul Albab
Program MRSM Ulul Albab mengekalkan kurikulum sedia ada yang dilaksanakan di semua MRSM seluruh Malaysia dengan tambahan program hafazan Al-Quran.
Untuk peperiksaan SPM pelajar akan mengambil mata pelajaran Bahasa Arab, Pendidikan Al-Quran & Al-Sunnah dan Pendidikan Syariah Islamiah selain mata pelajaran teras yang lain.
Bagi merealisasikan program Ulul Albab dalam sistem pendidikan MARA, aspek multilingual diutamakan dengan menjadikan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab sebagai teras dan bahasa-bahasa antarabangsa seperti Bahasa Jepun, Bahasa Mandarin dan lain-lain juga ditawarkan sebagai subjek pilihan.
Pelajar yang memilih Program Ulul Albab perlu memahami beberapa perkara iaitu :
- Menawarkan Program Ulul Albab sebagai nilai tambah
- Pelajar wajib menghabiskan pengajian di MRSM Ulul Albab bermula daripada Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5
- Pelajar tidak dibenarkan berpindah ke MRSM lain semasa sedang mengikuti pengajian di MRSM Ulul Albab
Semua pelajar diberi tempoh selama 3 tahun untuk khatam hafazan 30 juzu’ Di samping itu, mereka akan mengambil PT3 (Tingkatan 3) dan SPM (Tingkatan 5) dan juga sijil tahfiz Malaysia yang dikeluarkan oleh JAKIM sepanjang mereka berada di MRSM Ulul Albab.
Program MRSM Ulul Albab ada ditawarkan di MRSM berikut :
- MRSM Gemenceh, Negeri Sembilan
- MRSM Kepala Batas, Pulau Pinang
- MRSM Kota Putra, Besut, Terengganu
- MRSM Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor
- MRSM Semporna, Sabah
3. MRSM IGCSE
Program MRSM Cambridge IGCSE (Cambridge International General Certificate of Secondary Education) ialah Sistem Pendidikan MRSM yang menawarkan dwisijil iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan lGCSE dalam tempoh lima tahun pengajian.
Pelajar menduduki kedua-dua peperiksaan iaitu Cambridge IGCSE semasa di tingkatan empat dan SPM semasa di tingkatan lima.
Pelajar yang memilih MRSM Program IGCSE perlu memahami beberapa perkara iaitu :
- Pelajar akan mengikuti pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris
- Pelajar wajib menghabiskan pengajian di MRSM Program IGCSE bermula daripada Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5
- Pelajar tidak dibenarkan berpindah ke MRSM lain semasa sedang mengikuti pengajian di MRSM Program IGCSE
Pelajar akan mengambil 4 peperiksaan berikut sepanjang pengajian di MRSM IGCSE
- Cambridge Checkpoint (Tingkatan 2)
- PT3 (Tingkatan 3)
- IGCSE (Tingkatan 4)
- SPM (Tingkatan 5)
Program MRSM Cambridge IGCSE ada ditawarkan di MRSM berikut :
- MRSM Alor Gajah, Melaka
- MRSM Baling, Kedah
- MRSM Batu Pahat, Johor
- MRSM Johor Bahru, Johor
- MRSM Kuala Klawang, Negeri Sembilan
- MRSM Kuala Kubu Bharu, Selangor
- MRSM Kubang Pasu, Kedah
- MRSM Parit, Perak
- MRSM Serting, Negeri Sembilan
- MRSM Tumpat, Kelantan
- MRSM Tun Abdul Razak, Pahang
- MRSM Kuantan, Pahang
- MRSM Langkawi, Kedah
- MRSM Tun Mustapha, Tawau, Sabah
- MRSM Kuching, Sarawak
4. MRSM IB MYP
Program MRSM IB MYP adalah sistem pendidikan MRSM yang menawarkan Program Pertengahan Tahun disediakan oleh Pendidikan Baccalaureate Antarabangsa (IB education). MRSM IB MYP berjalan dalam program sekolah lima tahun.
Middle Years Programme (MYP) menyediakan rangka kerja pembelajaran yang menggalakkan pelajar untuk menjadi kreatif, kritikal dan pemikiran yang reflektif. MYP adalah cukup fleksibel untuk menampung keperluan kurikulum luar negara atau tempatan.
Program MRSM IB MYP mengekalkan kurikulum sedia ada yang dilaksanakan di semua MRSM seluruh Malaysia dan mengaplikasikan pendekatan MYP dari Sistem Pendidikan International Baccalaureate.
Pelajar yang memilih MRSM Program IB-MYP perlu memahami beberapa perkara iaitu :
- Program IB-MYP adalah sebagai nilai tambah dalam pembelajaran
- Pelajar wajib menghabiskan pengajian di MRSM Program IB-MYP bermula dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5
- Pelajar tidak dibenarkan berpindah ke MRSM lain semasa sedang mengikuti pengajian di MRSM Program IB-MYP
Program MRSM IB MYP ditawarkan di MRSM berikut:
- MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang
- MRSM Tun Dr Ismail, Pontian
- MRSM Tun Mohammad Fuad Stephens, Sandakan, Sabah
5. MRSM Teknikal
Program MRSM Teknikal menerapkan elemen teknikal melalui mata pelajaran Sains Kejuruteraan yang merangkumi ilmu Kejuruteraan Robotik, Kejuruteraan Mekanikal dan Kejuruteraan Elektrikal dari Tingkatan 1 hingga 3.
Kesinambungannya diteruskan untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu pelajar ditawarkan dengan jurusan Kejuruteraan Mekanikal dan Kejuruteraan Elektrik & Elektronik.
MRSM Bentong akan dijadikan Pusat Pembelajaran Teknikal dan Robotik MRSM dengan mengaplikasikan modul Sains Kejuruteraan seawal Tingkatan 1 di samping penggunakan peralatan makmal yang canggih.
Pelajar yang memilih program MRSM Teknikal perlu memahami beberapa perkara iaitu :
- Subjek Biologi tidak ditawarkan semasa pelajar berada di Tingkatan 4 dan 5 dan digantikan dengan subjek Kejuruteraan
- Pelajar wajib menghabiskan Program Teknikal bermula daripada Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5
- Pelajar tidak dibenarkan berpindah ke MRSM lain semasa sedang mengikuti pengajian di MRSM Program Teknikal
Kurikulum MRSM Teknikal mengandungi asas Menengah rendah dan menengah atas seperti MRSM lain, cuma terdapat tambahan subjek bagi MRSM Teknikal :
i. Menengah Rendah : Sains Kejuruteraan
- Modul pengajiannya lebih kepada penerokaan teknikal dari segi minat, asas kemahiran, kerja tangan dan budaya. Pendedahan awal pada bidang robotik, pengaturcaraan komputer dan teknikal.
ii. Menengah Atas :
- Lukisan Kejuruteraan – diwajibkan (modul asas & autocad)
- Kejuruteraan Elektrikal & Elektronik atau Kejuruteraan Mekanikal – Pilihan pelajar.
iii. Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi subjek teknikal, sains dan matematik.
iv. Pelajar juga dikehendaki untuk menguasai satu bahasa asing. (Pilihan bahasa bergantung kepada tenaga pengajar).
Program MRSM Teknikal hanya ditawarkan di MRSM berikut :
- MRSM Bentong, Pahang